• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Tuan Rumah Bincang Kesengsaraan Marawi


KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Terengganu menjadi tuan rumah bagi persidangan International Conference on Marawi (ICM) yang akan berlangsung bermula 19 hingga 21 Julai ini, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong.

Pengerusi International Charity Conference on Marawi, Hussin Ismail berkata, masyarakat dunia antarabangsa wajar didedahkan dengan isu kesengsaraan penduduk Marawi, di Mindanao, Filipina.

Ini kerana, katanya bandar Marawi yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk yang terlibat secara langsung menjadi mangsa perang masih tidak terbela.

Menurutnya, peristiwa serangan kerajaan Filipina ke atas bandar Marawi itu berlaku pada bulan Mei 2017 lagi, atas alasan memerangi pengganas Daesh, Maute dan Abu Sayyaf.

“Isu ini diangkat selepas kita (Yayasan Amal Malaysia) bermesyuarat IFRD (International Federation For Relief & Development), yang berlangsung di Istanbul tahun 2017.

“Di mana pada bulan Mei 2017, berlaku satu serangan oleh tentera kerajaan Filipina ke atas bandar Marawi, yang mempunyai kira-kira 200,000 orang penduduk Marawi yang 99 peratus masyarakat muslim.

“Serangan itu kononnya, memburu pengganas Daesh, Maute dan Abu Sayyaf, sekitar 200 hingga 400 orang. Penduduk awam Marawi diminta keluar sehelai sepinggang untuk sementara waktu itu menjadi berpanjangan selama dua tahun.

“Bandar Marawi yang cantik itu kini hancur dan tidak boleh dimanfaat langsung dan penduduknya tidak boleh pulang ke rumah masing-masing sampai sekarang (2019),” ujarnya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Seri Iman, di sini, kelmarin.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Pusat Dakwah Serantau Yayasan Amal Malaysia, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki.

Menurutnya, persidangan ICM itu di bawah IFRD yang merupakan sebuah NGO Antarabangsa yang digerakkan penubuhannya itu oleh Yayasan Amal Malaysia (Amal) terdiri dari 10 buah negara.

Justeru, katanya persidangan itu bagi membuka mata masyarakat dunia antarabangsa agar melihat isu Marawi ini suatu yang penting dan perlu pembelaan.

“Pertama, bagaimana kita hendak bantu dan memulihkan semula masyarakat Marawi dan pembangunan semula di Marawi itu bukan kemampuan NGO. Tujuan ICM ini untuk mengangkat kesedaran masyarakat dunia tentang isu Marawi, yang saya fikir terlalu dahsyat.

“Kedua, kita hendak beri penjelasan keadaan semasa yang berlaku di Marawi dalam tempoh dua tahun ini. Ketiga, untuk hendak wujudkan suatu pertukaran maklumat tentang apa yang berlaku ini bagi menarik dukungan antarabangsa, bagi membantu memulihkan masyarakat di Marawi.

“Keempat, untuk mendapatkan bantuan daripada ‘local’ mahupun antarabangsa. Di samping bekerjasama dengan kerajaan (autonomi) yang sedia ada sekarang. Marawi sekarang berada di bawah kerajaan baharu yang diberi pengiktirafan autonomi Mindanao dalam satu referendum,” jelasnya.

“Kita ada lapan kertas kerja yang akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh tertentu dengan tajuk-tajuk khusus berkaitan kes Marawi.

“Kita ada lapan kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh tertentu, antaranya mantan Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan daripada United Nation-Geneva (UN).

“Ini julung kali dibuat untuk Marawi, pembelaan di peringkat antarabangsa. Isu Marawi ini berkait dengan dua perkara iaitu isu yang menimpa umat Islam dan isu kemanusiaan,” ujarnya.

Menurutnya, isu kebajikan dan kemanusiaan Marawi itu perlu ‘dihighlightkan’ agar masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia tahu tentang isu tersebut.

SUMBER: HARAKAHDAILY 

Tag: