• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Terengganu Tubuh Institut Sukan Negeri

Kerajaan negeri berusaha kekalkan konsistensi pembangunan sukan negeri - Dr. Samsuri.
KUALA NERUS, 20 Mac - Terengganu bersetuju untuk menubuhkan Institut Sukan Negeri (ISN) di bawah seliaan kerajaan negeri bagi mengekalkan konsistensi pembangunan sukan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan kerana aspek sains sukan merupakan bahagian penting yang amat diperlukan oleh atlet dan persatuan sukan.

“Pada asalnya, kita ada ISN di bawah seliaan Kerajaan Perseketuan melalui Institut Sukan Negara untuk setiap negeri, tetapi kini ia telah ditutup.

“Ketiadaan ISN merencatkan pelbagai perancangan atlet dan pasukan lebih-lebih lagi bagi negeri Terengganu yang banyak pencapaian membanggakan dan agak terkehadapan dalam bidang ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini kelmarin.

Tambahnya, pertimbangan kerajaan negeri terhadap perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dijangka selesai dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.


 “Sekarang, kita masih dalam proses memperkemaskan kertas penubuhan termasuk perancangan pembelian peralatan keperluan selain membawa masuk pengalaman dan kepakaran yang ada ke dalam ISN kerana ia memakan kos yang besar.

“Kita akan melaksanakannya secara berperingkat dan memberi keutamaan kepada sukan-sukan utama seperti berbasikal dan olahraga,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebahagian dana penubuhan institut berkenaan boleh disumbangkan pihak swasta bergantung kepada kewangan negeri dan rundingan bersama pihak penaja yang akan diperhalusi.

Dalam majlis yang berlangsung meriah itu, Dr. Samsuri menyampaikan anugerah kepada pelumba trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang serta pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati AST 2018.

Majlis yang diadakan sebagai penghargaan kepada atlet Terengganu atas sumbangan dan pencapaian mereka itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan barisan kepimpinan serta pegawai kanan negeri.



Tag: