• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Utamakan Pendidikan



Oleh: Aslam Wira

MARANG, 14 April- Kerajaan negeri amat mementingkan pendidikan anak-anak Terengganu termasuk menerusi penajaan biasiswa mahupun pemberian pinjaman yuran pengajian untuk meneruskan pengajian ke tahap tertinggi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan untuk penajaan biasiswa kepada pelajar cemerlang dan RM10 juta diluluskan untuk pinjaman yuran pengajian dalam bentuk one-off atau pinjaman.

“Saya akui ianya adalah bukan jumlah yang banyak untuk membantu pelajar sarjana muda dan doktor falsafah tetapi sekurang-kurangnya permulaannya sudah ada.

“Seperti pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam diploma, kerajaan masih meneruskan pemberian RM1000 seperti sebelum ini, namun sekiranya mereka tidak layak, masih ada saliran lain iaitu melalui pusat zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam).

Beliau berkata ketika menjawab persoalan seorang mahasiswa, Muhammad Firdaus Muhammad Yusuf berkenaan peruntukan yang ditawarkan kepada pelajar yang belajar di luar Terengganu dalam satu majlis dialog bersama peserta Bakti Siswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak di Dewan Banat, Rusila, semalam.

Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong dan Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsuden.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukkan yang seharusnya dimanfaatkan pelajar dengan memberikan komitmen tinggi untuk mendapat keputusan yang terbaik.

“Kita mengharapkan menerusi bantuan yang diberikan boleh menjadi satu motivasi untuk pelajar mendapat keputusan yang cemerlang di universiti,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menaruh keyakinan terhadap mahasiswa UPSI kerana mereka adalah golongan intelektual dan satu-satunya IPTA yang terlibat secara langsung dalam pendidikan sebagai guru dan pendidik.

“Kita menaruh harapan yang besar supaya graduan daripada universiti ini adalah pendidik yang bukan sahaja kita nak bina pelajar-pelajar dari segi kemahiran tetapi juga dalam pembangunan modal insan,” ujarnya.




Tag: