• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

`Terima Kasih Terengganu Inc. Ceriakan Raya Anak-Anak Kami'- Anis Suzana




KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Keseronokan berbelanja kelengkapan Aidilfitri terpancar di  wajah pada sebuah keluarga miskin dari Gong Rusila apabila anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc.) Sdn Bhd membawa mereka membeli-belah di pasaraya Hock Kee Seng, di sini,hari ini. 

Selain pakaian baharu, Terengganu Inc turut menyumbang set perabot bernilai RM2,000 kepada keluarga itu sempena lebaran ini. 

Ibu kepada 10 anak, Anis Suzana Wahab, 42 berkata, dia dan suami, Shamsuddin Wahab, 53, kini mampu menarik nafas lega kerana dapat menyambut hari raya tidak lama lagi dengan ceria hasil bantuan pihak yang prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga mereka.

Dia sebelum ini terpaksa hidup dalam keadaan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' bersama anak-anaknya berikutan suaminya tidak dapat menampung kehidupan mereka sekeluarga akibat serangan angin ahmar sejak empat tahun lalu.

“Saya merasa terharu melihat kesemua anak yang ceria memilih kelengkapan pakaian menjelang hari raya. Persiapan kami tahun lalu hanya ala kadar sahaja dan syukur kami dipilih menerima sumbangan ini memandangkan pendapatan kami yang tidak seberapa kerana tiga anak saya cuma kerja kampung sekadar cukup untuk meneruskan kehidupan sahaja.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan RM200 seorang, secara tidak langsung anak dapat membeli kelengkapan Aidilfitri seperti baju raya, kasut dan lain-lain keperluan. Terima kasih kepada pihak Terengganu Inc. dan raya kali ini amat bermakna kepada anak yang sudah lama inginkan pakaian baru,” katanya.
Anis Suzana

Anis Suzana berkata demikian kepada pemberita selepas membeli kelengkapan raya di Pasaraya Hock Kee Seng bersama Terengganu Inc., di sini, hari ini.

Turut diraikan, tujuh beradik yatim piatu dari Kuala Nerus yang turut mendapat sumbangan pakaian raya bernilai RM200 seorang.

Penerima berkenaan, Syahwani Azwin Sahidi, 16, berkata, dia bersyukur di atas keprihatinan dan bantuan yang disalurkan kepada mereka sekeluarga.

“Terima kasih kepada semua mereka yang prihatin dengan nasib kami adik-beradik dengan pelbagai sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

 “Syukur dan kami amat hargai sumbangan diberikan. Saya pun dapat sediakan semua baju raya untuk mereka,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Khairul Nizam Khalid Mirza

Sementara itu, Timbalan Presiden Audit Dalaman, Khairul Nizam Khalid Mirza berkata, kegiatan itu satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat dan warga kerjanya sempena bulan yang penuh keberkatan ini.

Menurutnya, kehadiran rombongan Terengganu Inc. membolehkan dua keluarga yang terpilih merayakan Aidilfitri dalam keadaan yang lebih selesa berbanding tahun sebelumnya.

“Kami amat bersyukur kerana program ini sudah memasuki tahun kedua penganjuran yang menyebabkan kami mengambil keputusan untuk melebarkan kapasiti program kepada mereka yang memerlukan pada tahun ini.
“Sejak tahun pertama dianjurkan iaitu tahun lalu, program CSR ini dilakukan dengan pemilihan rumah anak-anak yatim yang berlainan untuk menyertai program ini setiap tahun dan kali ini pemilihan agak berbeza dengan memberikan tumpuan kepada keluarga yang terpilih dan saya berharap dengan sumbangan diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman di wajah setiap penerima,” katanya.



Tag: