• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

TFC Terima Penajaan Rimba Razia RM500,000

HULU TERENGGANU, 15 Februari- Pasukan Bola Sepak, Terengganu FC (TFC) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM500,000 daripada Rimba Razia Petting Zoo, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, jumlah penajaan itu adalah bagi tempoh semusim. 

"Selain wang tunai bernilai RM250,000, tajaan yang diterima daripada pihak Rimba Razia membabitkan tiga kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan pasukan TFC.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan ini, " ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani penajaan TFC sesi 2024/2025 di Rimba Razia Petting Zoo di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini pasukan TFC telah berjaya mengumpul kira-kira RM7 juta penajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 23 syarikat.

Sementara itu, Pengerusi Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, sebagai peminat tegar bola sepak, tajaan tersebut merupakan salah satu sumbangan syarikatnya kepada pembangunan sukan bola sepak negeri selain diharap dapat membantu mempromosikan zoo miliknya itu. 

"Kami mengharapkan agar sumbangan kecil daripada syarikat kami ini akan meransang lagi pasukan TFC dan pemain-pemainnya untuk berjuang dalam pertandingan musim hadapan ini dengan lebih cemerlang.

"Sekiranya prestasi syarikat dan TFC bertambah baik, insyaAllah kita akan tambah lagi penajaan pada musim-musim akan datang," katanya.