• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

T-HRDC Sedia Peluang Pekerjaan

Foto: Naim Abdillah

Oleh: Amiruddin Zamri

DUNGUN, 31 Oktober - Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu(T-HRDC) mengadakan Program Outreach Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu bagi memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukannya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Wan Hapandi Wan Nik berkata, ia sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar penganguran di Negeri Terengganu. 

" Kita bergerak pantas di lapangan bersama rakyat bagi mendapatkan pekerjaan, dan peluang ini perlu digarap oleh para belia di Dungun ini segera kerana peluang seumpama ini amat jarang ditemui di sepanjang hayat kita," katanya. 

Wan Hapandi berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Terengganu yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini semalam. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan juga menyediakan  pelbagai insentif Pakej PEMULIH telah disediakan, melalui PERKESO kepada mereka yang berkelayakan. 

 "Kerajaan jegeri, melalui T-HRDC, juga telah mengadakan perjanjian persefahaman(MOU) bersama sebuah syarikat multinasional dari Jepun, Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn. Bhd.(PAPAMY) bagi membuka sebanyak 800 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Oleh itu, saya menyeru kepada para belia di Dungun ini, dan juga di seluruh negeri Terengganu agar berusaha mendaftar dan menghadiri temuduga yang kita sediakan ini," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Wan Hapandi berkata, T-HRDC bersama pasukan Sumber Manusia PAPAMY ini akan menjelajah di daerah lain bagi menemui rakyat Terengganu yang berminat.