Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA LUMPUR, 9 Februari - Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) kekal mendahului liga setelah meraih kemenangan buat kali ketujuh, menewaskan Matador Hockey Club (MHC) yang dibarisi enam pemain import di Stadium Hoki Kebangsaan 2 (NHS2) Bukit Jalil dengan keputusan 4-0, malam tadi.
Perlawanan bermula sengit sebaik sahaja wisel dibunyikan, menyaksikan asakan demi asakan antara THT dan MHC.
Permainan sengit berterusan kegagalan menjaringkan gol menjadi duri dalam daging kedua-dua pasukan.
Walaubagaimanapun, THT berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-18 melalui ledakan gol padang yang disempurnakan oleh Faizal Saari.
Gol tersebut memberi dorongan kepada pasukan pantai timur itu untuk merancakkan rentak permainan meskipun dengan keadaan padang yang licin akibat hujan.
Hasilnya, memasuki awal babak Kedua perlawanan, tepat pada minit ke-31, THT licik merampas bola dalam satu pergelutan sengit di hadapan gawang MHC, membuahkan satu lagi gol menerusi pukulan daripada Samkelo Mbivi.
Selang lima minit kemudian, penjaring gol terbanyak bagi keseluruhan liga buat masa ini, Faizal sekali lagi mencuri perhatian dengan gol keduanya dalam permainan itu pada minit ke-36.
Jaringan padang tersebut melebarkan kedudukan THT kepada 3-0, meninggalkan MHC dengan jurang yang besar.
Biarpun selesa dengan kedudukan 3-0, pasukan THT tidak mengendurkan rentak permainan walau sejenak untuk terus mendominasi padang.
Perlawanan terus berlangsung rancak, stadium menyaksikan kedua-dua pasukan memperagakan aksi berbalas serangan namun, MHC terpaksa akur kepada nasib yang memihak kepada THT.
Pada minit ke-50, pemain kebangsaaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook melengkapkan jaringan terakhir dalam perlawanan itu tadi menerusi pukulannya selepas menyambut baik hantaran daripada pemain import, Lee Nam Yong.
THT kini masih memegang status kemenangan berturut dan kekal di kedudukan teratas liga dengan 21 mata keseluruhan.
Pasukan dibawah latihan Mohd Harfizi Baharom itu dijadualkan untuk menentang Nurinsafi Sporting pada 13 Februari bertempat di Stadium Hoki Bertam, Penang, jam 8 malam.