• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Tiada Arahan Bayaran Cukai Pintu Kediaman - MB Terengganu

Dr. Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri konsisten dengan keputusan pengecualian cukai taksiran bagi premis kediaman serta hapus kira cukai tertunggak yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan pembayaran cukai pintu kepada mana-mana premis kediaman setelah ia dikuatkuasakan.

"Hal ini di luar pengetahuan kita, jadi kita mohon individu terlibat tampil memberikan maklumat lanjut untuk memudahkan tindakan dilakukan.

"Kita juga kena pastikan apakah kategori premis tersebut, sama ada bayaran yang mereka perlu bayar itu melibatkan bayaran-bayaran lain dan bukan termasuk kategori cukai pintu," katanya.
Dr. Samsuri ketika meraikan para penerima APC.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan berkenaan rungutan segelintir penduduk Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, yang menerima surat arahan supaya membayar cukai pintu berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, beliau bersedia berunding untuk menyelesaikan perkara tersebut dan memohon kerjasama individu terlibat untuk memberikan maklumat berkenaan.

"Kalau ada, maklum pada kerajaan untuk kita ambil tindakan," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, semalam.

Majlis itu menyaksikan seramai 60 penjawat awam terpilih menerima hadiah sijil dan plak penghargaan, wang tunai RM5,000 serta pakej mengerjakan haji atau umrah daripada kerajaan negeri.


Tag: