• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Tiada Kelulusan Bangun Lot Rumah Dalam Kawasan IADA-Ketara



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 29 Mei- Kerajaan negeri tidak akan memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk membina rumah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA-Ketara).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kes menambun tanah untuk membangunkan lot rumah di dalam kawasan IADA- Ketara untuk tujuan perniagaan adalah satu pencerobohan.

“Tanah padi dalam kawasan IADA-Ketara dia siap tambun untuk buat lot rumah dengan tujuan nak jual tanah lot. Lepas tu baru angkat permohonan nak tukar syarat kegunaan tanah kepada lot bangunan.

“Kita terpaksa bertegas kerana kawasan tersebut adalah jelapang padi yang diwartakan sebagai antara kawasan utama pengeluaran padi beras negara.

‘’Pembinaan infrastruktur untuk pengairan sudah menelan kos hampir ribuan juta.  Amat rugi apabila tanah yang subur dan lengkap dengan infrastruktur pertanian 'diceroboh' dengan mudah untuk tujuan lain,” ujarnya dalam status yang dimuatnaik di laman Facebook rasminya, semalam.

Dr Azman berkata, kerja-kerja menambun tanah padi tanpa kebenaran pentadbir tanah adalah satu kesalahan kerana telah melanggar syarat kegunaan tanah dan boleh diambil tindakan perundangan.

"Saya habih banyok pitih doh YB buat tambun tanah. Tak kan dok leh nak tolong.

"Inilah ayat rayuan klasik yang berulang kali dirayu depan kita. Ramai orang fikir bila buat dulu baru minta kebenaran akan lebih mudah nak lepas,” katanya.

Tag: