• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tiga Pejabat Tanah Terengganu Terima Pengiktirafan Empat Bintang

KUALA TERENGGANU, 4 April - Tiga Pejabat Tanah Daerah dari negeri ini memperoleh pencapaian empat bintang dalam pengauditan Sistem Penarafan Bintang (SSR) Pentadbiran Tanah bagi Tahun 2022.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, tiga jabatan berkenaan adalah Pejabat Tanah Besut, Pejabat Tanah Hulu Terengganu dan Pejabat Tanah Dungun.

“Rentetan daripada saranan Ketua Setiausaha Negara supaya ‘System Star Rating’ diperluaskan kepada pentadbiran tanah sebagai langkah memastikan peningkatan kualiti perkhidmatan urusan tanah sentiasa diberi keutamaan, sebanyak 32 Pejabat Tanah terlibat bagi pengauditan pada tahun lalu di seluruh Malaysia.

“Tahniah kepada Pentadbiran di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu iaitu Pejabat-Pejabat Tanah yang terlibat dengan pengiktirafan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Sempena perhimpunan bulanan itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif kecemerlangan sebanyak RM500 dan sijil penghargaan kepada 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan Januari, Februari dan Mac 2023.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali; Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang.

Sementara itu, beliau memaklumkan Pejabat Tanah Kemaman berjaya mengutip cukai tanah tertinggi antara daerah-daerah lain sebanyak 88.29 peratus dengan jumlah RM11,000,432.75 pada tahun lalu.

“Tahniah juga diucapkan kepada Pejabat Tanah Hulu Terengganu atas kutipan tertinggi bagi cukai tanah tunggakan sebanyak 27.15 peratus dengan jumlah RM891,901.94. 

“Semoga pencapaian ini boleh menjadi perangsang kepada Pejabat Tanah yang lain untuk terus cemerlang seterusnya meningkatkan lagi kutipan cukai tanah sehingga mencapai 100 peratus.

“Bagi tahun ini, saya dimaklumkan PTG dalam proses memperkenalkan bayaran secara QR Pay sebagai penambahbaikan sistem bayaran bagi memudahkan pelanggan dengan pelbagai pilihan cara bayaran,” ujarnya yang menyatakan kutipan cukai tanah antara penyumbang bagi hasil negeri.