• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Tradisi Khatan Percuma DUN Buluh Gading Diteruskan

KUALA NERUS, 6 Mac - Tradisi khatan percuma menjelang cuti sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dteruskan sebagaimana biasa bagi membantu mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, program seperti ini telah dianjurkan sejak tahun 2006 lagi dan mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita telah jadikan program ini program tahunan kita.

“Kita juga telah lantik beberapa klinik dalam DUN Buluh Gading dan klinik berdekatan untuk melaksanakan program ini,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan di klinik yang telah dilantik baru-baru ini.

Menurut Ustaz Ridzuan, seramai 120 orang kanak-kanak menyertai program ini dan kos pukal RM120 seorang ditanggung sepenuhnya.

Sementara itu, Nurul Hidayah Azmi, 36, berkata, dia pertama kali menyertai program itu dan ia sangat bermanfaat bagi golongan B40 sepertinya dan mengambil peluang untuk berkhatan kedua-dua anaknya sekali gus.

Bagi Mohd Saiful Nizam Alias, 38, dari Kampung Tanjung Bunut pula menyifatkan ia suatu inisiatif yang sangat bagus kerana kos berkhatan mencecah RM160 hingga RM180 seorang.

“Suatu pembaharuan juga apabila perlaksanaan dibuat di klinik yang sebelum ini dibuat di dewan sivik dalam DUN. Rasa sangat selesa dan terasa lebih selamat,” ujar beliau lagi.

Seorang lagi penjaga, Mohd Raimi Abedilah, 36, dari Kampung Bukit Petiti menyifatkan, sungguh menjimatkan masa apabila diminta datang pada waktu tertentu untuk berkhatan.

“Jimat masa, jimat tenaga, kanak-kanak pun tak stress kerana tidak perlu menunggu lama,” jelas beliau.


Tag: