• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Tragedi RXZ : Terengganu Rakam Takziah


KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Kerajaan Terengganu menzahirkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan  penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang mengorbankan dua nyawa di sini, semalam.

“Saya dan seluruh pimpinan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan bersedih atas kejadian tersebut. Semoga roh dicucuri rahmat dan berada bersama orang solehin dan muttaqin," kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, dua penunggang motosikal yang menghadiri Himpunan Motosikal RXZ 3.0 maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di dua lokasi berasingan.

Mangsa, Mohamad Hanafi Sanan, 25, dan Muhammad Zaidi Zali, 22, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian pertama membabitkan motosikal Yamaha RXZ ditunggang Mohamad Hanafi dan Toyota Hilux yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang di KM41 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Merang di sini.

Menurutnya, mangsa dari Kampung Ulu Sungai, Raub, Pahang dikatakan dalam perjalanan pulang setelah selesai menyertai himpunan motosikal tersebut yang berlangsung di Stadium Gong Badak.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux cuba mengundur dari bahu jalan kiri untuk ke jalan besar dan tiba-tiba mangsa datang dari arah Kuala Terengganu telah melanggar belakang kenderaan tersebut,” katanya.

Zulkifli berkata, akibat pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat sementara pemandu Toyota Hilux, seorang juruteknik berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu dalam kejadian kedua jam 8.15 malam, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Wira dan tiga motosikal jenis Honda C100 di KM82, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kuala Setiu.

Zulkifli berkata, konvoi disertai sekumpulan penunggang motosikal yang turut disertai Muhammad Zaidi dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja.

Menurutnya, tiba di lokasi motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya motosikal mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta mengakibatkan mangsa terjatuh di tengah jalan lalu dilanggar pula dua buah motosikal yang berada di belakangnya kerana tidak sempat mengelak,” katanya.

Zulkifli berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat sementara penunggang dua lagi motosikal turut mengalami kecederaan.

Tag: