• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

TrenglishxCommunity Tawar Program Bahasa Inggeris Percuma

KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Program bahasa Inggeris ‘TrenglishxCommunity’ (TxC) kini membuka pendaftaran bagi sesi bulan Julai hingga Ogos dengan menawarkan pelbagai aktiviti pembelajaran menarik secara percuma.

Penolong Pengurus TxC, Muhammad Najib Ahmad berkata, acara atas talian itu menawarkan suasana pembelajaran secara tidak formal dan menyeronokkan bagi mengalakkan penggunaan serta penguasaan Bahasa Inggeris dalam komunti negeri ini.

“Ia juga berperanan sebagai penambahbaikan dan sokongan kepada pembelajaran sedia ada di sekolah, namun begitu, terdapat juga kelas buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kumpulan masyarakat lain.

“Ada sepuluh aktiviti #TxCr2 termasuk Fun English Class For All (FECFA) dan Songs to Soul yang ditawarkan secara percuma, manakala hanya dua aktiviti iaitu Better in Speaking (BESPEAK) dan Enrich Your English (EYE) mengenakan bayaran yuran minimum iaitu RM10," katanya ketika dihubungi UPDI.

Sementara itu, Pengurus Program TxC, Cik Ani Aiza Ashaari memaklumkan, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama dalam menganjurkan aktiviti TxC seperti aktiviti English : The Next Level untuk pelajar sekolah yang dianjurkan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Manir, Mohd Shaheer Ibrahim serta aktiviti My Hub English yang menyasarkan pelajar Maahad Tahfiz terpilih.

“Dengan tenaga 50 pembantu guru Bahasa Inggeris (T-HELP), sasaran penyertaan program selama dua bulan ini adalah seramai 250 orang, kekangan COVID-19 bukan penghalang dalam membangunkan keyakinan diri dalam ‘speaking’.

“Dengan pelaksanaannya juga, diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan membangunkan keupayaan berbahasa inggeris, jadi penyertaan seluruh warga Terengganu amat dialukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, program TRENGLISH di bawah kelolaan Yayasan Terengganu (YT) dengan slogan ‘I am from Terengganu, and I speak English’ itu sebelumnya telah berjaya melaksanakan Sembilan aktiviti dalam fasa pertama program TxC pada Mac-April lalu dengan penyertaan daripada pelajar sekolah sehingga golongan warga emas.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang pendaftaran program TxC fasa dua, boleh layari Facebook, Instagram dan Youtube rasmi TxC di @TrenglishCommunity atau ke laman pautan Senarai Aktiviti #TxCR2.