• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

TTI Sasar Satu Juta Pengunjung Tahun 2024

KUALA TERENGGANU, 13 November - Taman Tamadun Islam (TTI) menyasarkan kehadiran 1 juta pengunjung pada tahun hadapan.

Pengurus besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, pihaknya meletakkan sasaran itu melihat kepada jumlah pengunjung yang dicapai pada tahun ini dari Januari hingga November adalah lebih 600,000.

"Kita hendak memastikan TTI ini bukan hanya akan menguntungkan kerajaan Terengganu tetapi turut memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat terutama masyarakat setempat.

"Saya melihat ini satu cabaran bagi memastikan TTI ini muncul sebagai hab pelancongan negeri Terengganu yang terkemuka dan menjadi pilihan ramai.

"Maknanya bila orang datang Terengganu dia akan terus memilih untuk datang ke sini, saya yakin dan percaya TTI masih dikenali ramai dan untuk memperkasakannya kita akan melakukan sesuatu dan akan memikirkan program yang 'wow', bagi meningkatkan jumlah pengunjung," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semasa hadir pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah sempena Watersport Festival, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Fadhil berkata adalah menjadi tanggungjawabnya setelah dilantik menjadi pengurus besar baru untuk menaikkan kembali TTI.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang telah memberi peluang dan melantik saya sebagai Pengurus Besar dan sudah pastinya banyak cabaran yang perlu saya buat kerana TTI ini namanya cukup besar.

"Sudah pasti memerlukan kepada satu perancangan ataupun satu kerja yang perlu difikirkan bersama untuk memastikan ia mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri," ujarnya lagi.