• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Tumpu Kerja, Elak Pengaruh Negatif


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 3 Mac - Setiap pemimpin yang berkhidmat di pelbagai peringkat sama ada kampung, daerah, negeri dan negara dinasihatkan tidak terpengaruh dengan unsur negatif seperti cacian, kecaman dan fitnah sebahagian individu.

 Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali sempat berpesan kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen agar menumpukan kerja masing-masing tanpa mempedulikan orang yang mengata dan mencaci.

“Setiap orang perlu buat kerja masing-masing sahaja kerana yang akan menilai kita ialah Allah SWT, yang beri pahala kita ialah Allah SWT dan bukannya manusia.

“Sebarang tohmahan dan cacian yang dilemparkan kepada kita tidak akan habis,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Duha mingguan di Surau Ayah Itam Wan Ali, Kampung Baru Seberang Takir, baru-baru ini.

Beliau mengingatkan, unsur-unsur negatif seperti itu tidak akan mampu menjatuhkan kita sebaliknya mereka yang sering melontarkan tohmahan itu ‘ibarat anjing menyalak bukit' dan 'bukit takkan runtuh dengan salakannya'.

“Kita bekerjalah dengan sebaik-baiknya agar Allah SWT menganugerahkan keberkatan kepada kita,” pesannnya kepada semua hadirin.

Kuliah Duha yang diadakan saban minggu itu berlangsung setiap pagi Jumaat semenjak lebih 10 tahun lalu.

Dr. Khairuddin sering meluangkan masa menyampaikan kuliah tersebut sebagai tanggungjawab sebagai pemimpin dalam program yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat, baik pemuda, orang tua, wanita, dan kanak-kanak itu.


Tag: