• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SETIU, 18 Oktober  – Kerajaan Terengganu tidak akan meminggirkan kemudahan asas seperti penurapan jalan untuk golongan pesawah supaya pengusaha dalam bidang tersebut mampu memaksimakan potensi dengan sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ia sekadar infrastuktur asas tetapi ia sangat penting kepada golongan petani. 

"Kalau jalan nak pergi pasar raya perlu jalan berturap, kenapa pula jalan sawah padi yang merupakan periuk nasi kita perlu dipinggirkan.

"Malah, dalam sawah padi pun ada rumah penduduk. Mereka tak boleh dinafikan hak untuk turut menikmati kemudahan asas sama seperti di tempat lain," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, usaha berkenaan secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai positif ke dalam minda masyarakat agar mengubah sisi pandangan terhadap sektor pertanian.

"Kita nak ubah minda bahawa kerjaya petani adalah kelas ketiga dan inilah bidang tempat orang mundur dalam masyarakat. Biar kita bermentaliti, petani adalah kerjaya kelas pertama. Nak pergi ke sawah pun ada jalan berturap," tambah beliau.