• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

'Ubi Muda' Terengganu Laung Amaran Kebangkitan

Skuad Terengganu FC IV. Foto ihsan We Bleed Black And White.

KUALA NERUS, 4 Julai - Skuad Terengganu FC IV (TFC IV) melaungkan amaran untuk terus bangkit selepas kekalahan pertama tempoh hari.

Pemain utama pasukan TFC IV, Faris Ikhmal Mamat, 19, berkata, tewas kepada Selangor B-19 selepas 15 perlawanan menyedarkan mereka untuk sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.

Ujarnya, walaupun masih menghuni tangga teratas kumpulan B dalam saingan Piala Belia 2019, skuad ‘ubi muda’ Terengganu itu akan terus berwaspada dengan ancaman pasukan lain.

“Selepas ini kami akan menentang pasukan Pulau Pinang B-19, kami berharap agar kami dapat meningkatkan motivasi dan terus bangkit untuk mencipta kejayaan.

“Semoga kekalahan pertama baru-baru ini kepada Selangor mengajar dan menunjukkan beberapa kelemahan yang perlu kami baiki sebelum berdepan Pulau Pinang pada 7 Julai,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri bersama Atlet Terengganu di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini hari ini.

Faris Ikhmal Mamat.

Bercakap tentang skuad 'abang', Terengganu FC I, Faris berharap agar pasukan kendalian Nafuzi Zain itu meneruskan rentak kemenangan.

Selepas berjaya menidakkan cabaran Kuala Lumpur baru-baru ini, semangat untuk merebut tangga teratas liga super pastinya meningkat.

“Kepada TFC 1, semoga terus mencipta kemenangan, buat yang terbaik, atas padang pemain mesti melaksanakan segala arahan jurulatih,” tambah faris.

Untuk rekod, TFC IV berjaya mengutip 40 mata daripada 15 perlawanan sekaligus berada di tempat pertama kumpulan B meninggalkan Perak di tangga kedua.

Manakala dalam kumpulan A, pasukan PKNS FC B-19 terus menjarakkan diri daripada UITM FC B-19 dengan mengumpul 33 mata.





Tag: