• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Umat Islam Digesa Berhati-Hati Terhadap Minuman 0.0% Alkohol

Wan Hapandi Wan Nik.
Oleh: Mohd Asraf

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan memandang serius terhadap minuman yang meletakkan tanda ‘0.0% Alcohol’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Haji Wan Hapandi Wan Nik berkata, perkara tersebut amat membimbangkan kerana ramai anak muda keliru dengan pilihan minuman yang ada.

“Kita tidak tahu isi kandungan air tersebut sama ada betul-betul tiada alkohol atau tidak, tetapi yang lebih penting adalah ia berasal dari jenama dan pengilang arak yang terkenal.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh merosakkan anak muda yang mungkin tidak mendapat pengetahuan yang jelas tentang isu arak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Menurut Wan Hapandi lagi, isu status halal makanan dan minuman amat sensitif bagi rakyat Malaysia kerana majoriti beragama Islam.

“Apabila melibatkan status halal berkaitan makan minum, ia menjadi isu yang besar buat rakyat negara ini dan mengapa perkara ini berlaku?

“Siapa yang menaja dan siapa yang mengendalikan benda ini? Mungkin musuh Islam dan nasihat saya supaya jangan meminum air seperti ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai usaha memperkasa agama Islam, Wan Hapandi yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sura itu menegaskan, pimpinan tempatan termasuk penghulu, imam dan ketua keluarga harus bekerjasama membasmi dan mencegah dari peringkat akar umbi agar perkara ini tidak berleluasa.

Terdahulu tular promosi penjualan arak berlabel 'zero-alcohol' keluaran sebuah syarikat minum keras di kedai serbaneka.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memuat naik penerangan mengenai isu tersebut bertajuk 'Alkohol dan Arak' dalam laman Facebooknya, baru-baru ini.

Menurut Jakim, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling, adalah haram diminum.

Jakim memetik hukum haram itu berdasarkan sumber daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Tag: