• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Umat Islam Diseru Pertahan Agama Dan Rasul

Umat Islam perlu suarakan bantahan pertahan Rasulullah SAW- Ahmad Shah.

Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menyeru umat Islam di negara ini bangkit menyatakan pendirian bagi mempertahankan agama dan Rasul.

"Ayuh semua, nyatakan pendirian kita. Pertahankan agama dan Rasul sepertimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan generasi terdahulu," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Shah lagi, orang bukan Islam pada hari ini bukan sahaja memandang sinis kepada agama, bahkan mereka secara terang-terangan sudah berani mengeluarkan perkataan yang menghina dan memperlekehkan Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya lagi, sekiranya masyarakat Muslim masih mempunyai iman dan rasa cinta kepada agama dan Rasul, maka wajib untuk mereka bangkit mempertahankan maruah dan harga diri umat Islam sebenar.

"Walaupun seseorang itu banyak harta dan mempunyai pangkat yang tinggi, tetapi sekiranya tiada rasa kasih dan cinta pada agama dan Rasul, maka sia-sia dunia dan akhirat mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut merayu kepada masyarakat Muslim untuk sama-sama turun di mana-mana masjid yang menganjurkan bantahan terhadap penghinaan tersebut yang bakal diadakan pada Jumaat ini (1 Mac).

Sebelum ini, seorang warga emas, Wai Foo Sing, 68, mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memuat naik karikatur berunsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Sayidatina Aishah RA di laman Facebooknya, 17 Februari lalu.

Dia ditahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dua hari kemudian dan disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, orang ramai mula menyuarakan bantahan dan kemarahan apabila Foo Sing dibebaskan selepas hanya tiga hari direman dengan jaminan polis.


Tag: