• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

KUALA NERUS, 23 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan 2,388 graduan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober depan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan, UMT semalam.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, ia membabitkan 46 orang penerima Ijazah Doktor Falsafah, 150 orang penerima Ijazah Sarjana, 2081 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dan 111 orang penerima Diploma. 

Katanya, buat julung kali UMT memperkenalkan Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)   kepada pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang pengajian mereka di UMT.

"UMT kini telah beralih dari fasa transisi daripada universiti baharu kepada universiti yang lebih matang. Banyak cabaran dan perubahan yang telah kita lalui untuk berada di tahap ini. 

"Bagi memainkan peranan yang lebih signifikan sebagai sebuah universiti marin berfokus, UMT tekad untuk terus komited, berkembang dan kekal menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi," katanya dalam ucapan alu-aluan.

Tambahnya, UMT juga meraikan Graduan Sulong bagi Program Sarjana Muda Operasi Maritim Dengan Kepujian seramai 13 orang, Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih) seramai 19 orang dan Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) seramai 33 orang. 

Beliau berkata,  UMT berbesar hati untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, kepada Yang Berbahagia Profesor Emeritus Dato Dr. Abdul Latiff Mohamad.

"UMT juga turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, kepada Yang Berbahagia Dato Sri (Dr.) Michael Tio.

"Anugerah-anugerah ini diberikan bagi mengiktiraf sumbangan tokoh dalam bidang masing-masing," katanya.

Dalam majlis ini juga UMT turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat Pengajian).

Manakala Anugerah Khas PTPTN dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.