lightning-solid
Berita :
UniSZA Ambil Langkah Segera Salur Bantuan Kepada Waris Pelajar Maut Dalam Kemalangan
UniSZA Ambil Langkah Segera Salur Bantuan Kepada Waris Pelajar Maut Dalam Kemalangan
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
323

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil langkah segera dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada waris seorang pelajar pascasiswazah universiti itu yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya petang tadi.

Sehubungan itu, UniSZA menyalurkan bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000, selain sumbangan kebajikan universiti sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Dalam pada itu, waris juga telah layak untuk menerima pampasan insurans kematian melalui takaful berjumlah RM12,000.

Terdahulu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA memaklumkan, pihak universiti telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan maut yang berlaku kira-kira jam 2.05 petang di simpang empat Bukit Kecil, Bandar Kuala Terengganu, yang melibatkan seorang pelajar UniSZA.

Mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 24, pelajar pascasiswazah Diploma Pendidikan dari Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas dirempuh pemandu langgar lampu isyarat merah.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai menaiki kereta jenis Perodua dan telah tersepit akibat kemalangan tersebut. 

"Akibat kecederaan teruk, pelajar Unisza ini telah meninggal ditempat kejadian.

"Pihak UniSZA amat berdukacita dengan kehilangan ini dan sedang berurusan dengan pihak berkuasa serta hospital bagi tindakan seterusnya," kata mereka dalam satu kenyataan sebentar tadi bagi menguruskan tindakan susulan serta memastikan kebajikan waris terpelihara.

Allahyarham yang telah mendaftar sebagai pelajar UniSZA pada 12 April 2025 dipercayai  sedang dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk membuat permit mengajar sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.


Artikel Berkaitan