• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

UniSZA Jalin Kerjasama Dengan YIT dan JHEAT


Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengukuhkan kerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dengan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program perkongsian pintar UniSZA bersama masyarakat.

Prof. Dr. Mahadzirah 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, sebelum ini Perpustakaan UniSZA telah melancarkan Projek Pengorganisasian Bahan dan Pengautomasian Pusat Sumber (PPS) dari bentuk tradisional kepada PPS berlandaskan teknologi maklumat dan komunikasi supaya dapat membantu mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Katanya, satu sistem dikenali sebagai Automasi Pengurusan Pusat Sumber (APPS) telah dibangunkan dengan menggunakan perisian Microsoft Access.

“Ianya telah dijalankan di empat buah sekolah terpilih sebagai projek perintis pada 2012 dan diperluaskan ke tiga buah sekolah lagi pada 2014.

“Sistem APPS ini juga telah dinaik taraf menggunakan aplikasi atas talian atau web based pada 2016,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara UniSZA Dengan YIT Dan JHEAT Bagi Program Perkongsian Pintar UniSZA Bersama Masyarakat di Perpustakaan UniSZA, hari ini.

Prof. Dr. Mahadzirah mewakili UniSZA manakala YIT dan JHEAT masing-masing diwakili oleh Pengarah YIT iaitu Dato’ Dr. Alias Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Azam Awi.

Menurut Mahadzirah, pihak perpustakaan UniSZA berhasrat memperluaskan program khidmat masyarakat itu kepada 11 institusi yang terdiri daripada masjid, sekolah dan yayasan pada tahun ini.

“Menerusi MoU yang dimeterai, kita mensasarkan untuk memperluaskan sistem APPS versi android kepada institusi terbabit bagi membantu pelajar dan masyarakat mendapatkan bahan rujukan dari perpustakaan masing-masing hanya secara atas talian,” ujarnya.

Tag: