• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

UniSZA Sanjungi Pengamal Media


Jurufoto UKOM, Tengku Mohd Syamim turut menerima hadiah kemenangan kategori foto terbaik sempena Malam Anugerah Kewartawanan UniSZA 2018, malam tadi. 
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus mengiktiraf peranan media tempatan yang membantu mempromosikan pusat pendidikan itu sehingga menjadi tersohor dan antara pilihan utama ramai pelajar dalam dan luar negara, menerusi penganjuran Malam Anugerah Kewartawanan UnisZA 2018, malam tadi.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, peranan media dalam membantu menyalurkan maklumat bermanfaat, tepat dan terkini tidak dapat disangkal lagi.


"Media adalah antara pihak yang banyak membantu UniSZA dalam menyalurkan pelbagai maklumat terkini dan bermanfaat kepada masyarakat. Tanpa sokongan berterusan media UniSZA pastinya tidak dapat menjadi gah seperti hari ini .

"Pastinya kita mahu kolaborasi ini akan berterusan sekali gus membantu UniSZA untuk terus menempa lebih banyak kecemerlangannya supaya kekal menjadi pilihan pelajar dari seluruh dunia sebagai tempat meraih ilmu. Kita juga akan terus berusaha dan mencapai kejayaan dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi supaya dapat memberi manfaat kepada semua pihak pada masa akan datang," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Malam Anugerah Kewartawanan UniSZA 2018 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam tadi.

Di majlis itu, Timbalan Pendaftar UniSZA, Ahmad Termizi Abdul Aziz turut mencuri tumpuan apabila menyampaikan puisi yang meruntun jiwa sebagai dedikasi buat Allahyarham Pensyarah Fakulti Pengajian dan Kontemporari Islam (FKI), UniSZA, Dr Shahril Othman, yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa, Oman pada minggu lalu.



Pengarah Pejabat Kolej Kediaman (PKK) UniSZA itu menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung ketika sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia, sebaik selesai urusan penyelidikan di Arab Saudi bersama dua pensyarah lain.

Pemergian Allahyarham yang berkhidmat di UniSZA selama 10 tahun bermula 2008 dan meninggalkan seorang balu serta empat cahaya mata itu, memberi kesan yang sangat mendalam buat rakan-rakan seperjuangan dan warga UniSZA.

Sebelum itu, jurufoto Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Tengku Mohd Syamim Tengku Ismail turut menerima anugerah bagi kategori jurufoto terbaik menerusi foto bertajuk '2,359 Graduan UniSZA Di Rai Di Majlis Konvokesyen Ke-9' yang disiarkan menerusi portal www.teganukita.my pada 21 Oktober 2017.

Tag: