• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

UniSZA Sedia Sambut Kembali 2,500 Pelajar Jumaat Ini

KUALA NERUS, 13 Oktober - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah membuat persiapan sepenuhnya bagi menerima kembali seramai 2,500 mahasiswa sedia ada ke kampus bermula Jumaat ini.

Naib Canselor UniSZA (Menjalankan Fungsi), Prof. Dr Fazli Adam berkata, persediaan tersebut telah berjalan lancar sepertimana yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di ketiga-tiga kampus iaitu Gong Badak, Besut dan Perubatan.

Katanya lagi, kemasukan pelajar ke kampus adalah secara berperingkat bagi yang lengkap divaksin serta membabitkan mereka yang berkeperluan.

 “Bagi fasa 1 iaitu 15 Oktober ini adalah membabitkan pelajar yang memerlukan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, manakala Fasa 2 pada 28 Oktober adalah pelajar dari kategori berkeperluan lain.

“Manakala Fasa 3 pula pelajar bukan kategori berkeperluan yang akan masuk pada 13 November.

“Proses PdP akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP dari lokaliti masing-masing.

Sementara itu, Prof Fazli turut memaklumkan bahawa seramai 1,961 orang pelajar baharu sedang menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) secara dalam talian yang bermula 10 Oktober sehingga hari ini.

“Pelajar baharu sarjana muda ini telah mula mendaftar secara dalam talian bermula 16 September lalu dan mereka boleh masuk ke kampus pada Fasa 2 jika berkeperluan.

 “Insya-Allah kita akan menerima lagi jumlah pelajar baharu yang telah memohon bagi fasa rayuan dan sedang diproses oleh pihak KPT.

“Warga kampus mengalu-alukan kepulangan pelajar, walaupun tidak semua, namun suasana kampus pasti sedikit berubah walaupun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” jelasnya lagi.