• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Usaha Gigih Anak Soleh Pintar Imtiaz Diiktiraf

KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Seramai 336 pelajar diraikan sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Kali Ke-13 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2022.

Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, majlis yang diadakan secara tahunan itu merupakan platform utama kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai serta mengiktiraf anak-anak soleh pintar yang telah bersungguh-sungguh menimba ilmu pengetahuan dan menghafal al-Quran sepanjang di Imtiaz.

"Pada hari ini seramai 325 orang pelajar Tingkatan 5 dan sebelas pelajar Tingkatan 6 telah berjaya menamatkan pelajaran di Imtiaz.

"Daripada  jumlah tersebut, 62.8 peratus atau 211 orang pelajar telah khatam 30 juzuk al-Quran, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Kali Ke-13 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat.

Katanya, statistik membanggakan itu secara jelas membuktikan bahawa Imtiaz berasa di landasan yang tepat dalam merealisasikan matlamat penubuhannnya iaitu sebagai pusat melahirkan profesional huffaz.

 "Anak soleh pintar Imtiaz seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi daya intelektualnya malah mampu menjiwai nilai- nilai Islam untuk dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

"Ianya dibuktikan dengan peningkatan jumlah khatam al-Quran setiap tahun disamping kejayaan merangkul pelbagai anugerah pertandingan pelajar peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, "ujarnya.

Mohd Azmi berkata, majlis graduasi tersebut merupakan titik permulaan mengorak langkah yang lebih tinggi kepada para pelajar. 

"Semoga para pelajar dapat meneruskan momentum kecemerlangan ketika menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi, terus mengekalkan amalan hafazan al-Quran dan berusaha mengaplikasikan pelbagai pengalaman yang dipelajari di Imtiaz demi sumbangan kepada pembangunan ummah, " jelasnya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada para pendidik dan ibu bapa yang sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan kemenjadian anak-anak soleh pintar ini.