• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ustaz Wan Junaidi Diumum Tokoh Dakwah Negeri

KUALA TERENGGANU,19 Julai- Tenaga pengajar kitab Turath bertauliah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Wan Junaidi Wan Jaafar diumumkan sebagai Tokoh Dakwah Peringkat Negeri Terengganu tahun ini.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan dakwah dan perkembangan syiar Islam selain memiliki pengetahuan, pengalaman luas serta mempunyai sifat dan keperibadian unggul.

Wan Junaidi, 54, dari Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu mengabdikan diri selama 12 tahun bagi mengikuti pengajian pondok bermula dari usia 14 tahun.

Antaranya, Pondok Tok Guru Haji Abas, Tok Jiring; Pondok  Pasir Tumbuh, Kelantan; Pondok Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang, Thailand serta Pondok Al- Falahiyyah, Pondok Paku, Kerandang, Besut (Pondok Tuan Guru Baba Najmuddin, Kerandang).

Wan Junaidi berkata, penganugerahan tersebut memberi semangat kepada diri beliau untuk terus meningkatkan usaha dalam memperjuangkan agama Islam.

"Alhamdulillah atas anugerah ini, ianya merupakan suatu pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama terhadap usaha saya untuk mengembangkan pengajian Kitab Turath yang banyak diguna pakai di institusi pondok dengan memberi penekanan terhadap ilmu fardu ain, tauhid, fekah dan tasawwuf.

"Mudah-mudahan dengan anugerah ini akan membuka lagi minat umat Islam di negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya dalam mendalami Kitab Turath.

"Saya juga berharap dengan anugerah ini akan meningkatkan semangat saya untuk menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di Negeri Terengganu khasnya dan dapat mengajak asatizah-asatizah yang lain bersama-sama menabur bakti untuk mengembangkan dan memperluaskan ilmu agama Islam, " ujarnya.

Bapa kepada sembilan cahaya mata itu turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana memilih beliau sebagai Tokoh Dakwah tahun ini.

Kini, beliau aktif mengajar kitab-kitab Turath di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu termasuk Masjid Negeri (Masjid Abidin)

"Saya lebih kepada memberi penekanan terhadap ilmu berkaitan fardu ain, tauhid, feqah dan juga tasawwuf .

"Setiap tiga kali dalam seminggu, saya akan bersiaran di Radio Terengganu FM dan bagi memberi kemudahan kepada penuntut-penuntut ilmu, mereka juga boleh mengikuti kuliah Fardhu Ain secara live menerusi FB Live: Ustaz Wan Junaidi- Original, " ujarnya.