• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Vaksin Satu Dos Antara Kaedah Terbaik Pujuk Orang Asli

HULU TERENGGANU, 8 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan 63,734 Orang Asli yang menolak vaksinasi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka.

Timbalan Menteri 1, Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata walaupun ia bukan satu tugas yang mudah untuk meyakinkan mereka, namun pihaknya dan JAKOA akan terus meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan dan manfaat apabila menerima vaksin dengan kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, antara kaedah yang difikirkan adalah pemberian vaksin hanya satu suntikan sahaja yang sedang dipertimbangkan Menteri Penyelaras Vaksin, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Vaksin jenis CanSino hanya memerlukan satu dos bukan sahaja praktikal kepada masyarakat Orang Asli malah lebih menjimatkan kos logistik penghantaran.

"Mereka yang menolak ini merupakan yang terpengaruh dengan hasutan oleh golongan antivaksin yang datang ke perkampungan mereka, ada juga yang memberi alasan tertentu tidak mahu divaksin kerana takut mati.

"Sekarang ini kita berkempen dan cari kaedah terbaik untuk perjelaskan kembali kepada mereka, memandangkan ramai yang menerima maklumat yang salah dan kurang jelas mengenai kebaikan vaksin Covid-19, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada 136 Ketua Isi Rumah di Kampung Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, KPLB melalui JAKOA meluluskan peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi proses menaiktaraf dewan serbaguna di perkampungan berkenaan.

Tambah Abdul Rahman lagi, sehingga hari ini, JAKOA telah menerima sebanyak 15,307 borang pendaftaran daripada masyarakat Orang Asli yang bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata kira-kira 3,018 Orang Asli  telah menerima suntikan dos pertama dan seramai 1,330 orang telah menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Berua, Rosli Desoh, 48, berkata dia berharap kerajaan dapat mempercepatkan suntikan vaksin kepada semua rakyat kerana bimbang dijangkiti Covid-19 ketika keluar.

"Kita tidak seharusnya terpedaya dan percaya dengan cerita palsu mengenai vaksin yang disediakan kerajaan, jagalah diri dan keluarga serta masyarakat Orang Asli," ujarnya.

Bagi, Ishak Namat, 58 yang ditemui berkata  dia menerima baik untuk suntikan vaksin bagi keselamatan diri dan keluarga.

"Walaupun ada perasaan takut tapi vaksin tu penting sebagai perlindungan dari wabak Covid-19 dan saya rasa kalau diwajibkan suntikan ini lagi bagus.

"Betul orang asli kat sini lebih selamat sebab tidak keluar tapi bila orang luar datang, mereka boleh mengancam keselamatan kami semua," ujarnya yang mengisi borang persetujuan vaksinasi pada bulan lepas.

 


Tag: