• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

‘Wakaf Tapai Innovation Park’ Jana 1,500 Peluang Pekerjaan

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Industri baharu, Wakaf Tapai Innovation Park yang bakal dibina akan menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan, perancangan projek yang akan dibina awal tahun hadapan itu sedang diteliti dan ia berjalan lancar sebagaimana dirancang.

Jelasnya, pembangunan kawasan itu melibatkan beberapa agensi dalam dan luar negara termasuk kerjasama daripada Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India.

“Perancangan segera itu insya-Allah akan menempatkan lebih kurang 10 pemain industri baharu yang melibatkan pelaburan berjumlah RM150 juta melengkapi 10 lot.

“Pelaburan dan peluang pekerjaan ini akan berasaskan kepada sektor perkayuan, urusan tanah serta pelupusan sisa dan teknologi hijau,” ujarnya.

Sulaiman Sulong.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang turut menjelaskan tentang jumlah pemain industri yang sedang beroperasi di Wakaf Tapai.

“Merujuk kepada data yang kita ada, buat masa ini terdapat sejumlah 24 pemain industri di Wakaf Tapai," ujarnya.



Tag: