• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Walimatulurus Perdana 2019 Bakal Berlangsung 17 Ogos Ini


KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Program Walimatulurus Perdana 2019 yang dijadualkan berlangsung 17 Ogos hadapan akan ditutup permohonannya pada 30 Jun ini.

Program anjuran kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan terbuka kepada rakyat negeri Terengganu yang berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai karnival perkahwinan dengan pelbagai intensif yang ditanggung oleh YPKT.

Walimatulurus Perdana ini dapat membantu pasangan pengantin terutama golongan muda memudahkan proses perkahwinan, membantu meringankan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan dalam urusan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka dan memperkasakan institusi kekeluargaan

Orang ramai yang berminat boleh memuat turun borang melalui  portal http://www.ypkt.gov.my/ dan borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan kepada ibu pejabat YPKT atau di pejabat YPK kawasan masing-masing sebelum tarikh tutup 30 Jun dalam beberapa hari lagi.

Antara syarat permohonan mestilah pemohon dan pasangan berumur 18 tahun ke atas di mana salah seorang daripadanya rakyat negeri Terengganu dan pendapatan pemohon bersama pasangan RM3,000 ke bawah manakala pendapatan ibu bapa pemohon dan pasangan pula di bawah RM5,000.

Selain itu, pemohon  perlu lulus kursus Pra-Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Perkahwinan Islam (MBKPI) kendalian JHEAT atau agensi yang diiktiraf oleh kerajaan.

Pasangan pengantin yang berjaya akan diberikan tawaran kepada setiap pasangan pada hari majlis termasuk satu set persalinan pakaian pengantin, wang caruman balik sebanyak RM1,000, khidmat juru nikah serta pakej set perkahwinan (pelamin, andaman, kad jemputan kahwin dan khidmat jurugambar).

Tag: