• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'War' Inisiatif SPRM Didik Generasi Bebas Rasuah

SETIU, 26 Mei -  Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) merupakan usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melahrikan generasi bebas rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, sehingga kini ia telah diadakan di 162 buah sekolah.

"Program ini dirangka dengan tujuan memberikan pendedahan awal kepada murid-murid di sekolah yang terlibat untuk membudayakan sikap membenci rasuah serta menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi dalam jati diri mereka.

"Program yang diadakan ini adalah selaras dengan tuntutan inisiatif 2.4.6 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR), di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin. 

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. 

Sementara itu, Norazlan berkata program berkenaan yang telah disertai oleh Terengganu Inc telah melayakkan syarikat korporat tersebut menjadi yang pertama akan mendapat inisiatif potongan cukai oleh SPM kerana melaksanakan program Pendidikan Rasuah.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Terengganu Inc yang telah turut bersama kami (SPRM) semoga ia menjadi contoh kepada syarikat korporat yang lain untuk turut membua program mengenai pendidikan rasuah ini,"ujarnya,

Untuk rekod, Pelaksanaan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini membolehkan syarikat swasta mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menerusi program berkenaan ia akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah.