• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Wau Gergasi Ikon Sukan Rakyat Kampung Kebor Air

Sebahagian penduduk bergambar bersama wau gergasi sebelum menerbangkan'nya'. 

Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 8 April – Sebuah  Wau Sari gergasi yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Kebor Air berjaya menarik pengunjung luar ke kampung berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, wau tersebut menjadi ikon dan tarikan utama kampung itu kerana dihasilkan setiap tahun sempena penganjuran sukan rakyat.

“Penghasilan wau ini serta usaha menaikkannya menuntut pengorbanan dan kerjasama sesama penduduk kampung.

“Inilah yang kita mahukan sebenarnya. Sukan sememangnya menjadi medium sempurna untuk memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama masyarakat," katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara  menaikkan wau tersebut sempena Sukan Rakyat Kampung Kebor Air 2019, di padang awam kampung itu, Sabtu lalu.

Kemeriahan gotong-royong menaikkan wau gergasi yang sempat dirakamkan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kebor Air, Mohd Hanapiah Abu Bakar memberitahu, Wau Sari gergasi yang menelan belanja kira-kira RM400 itu mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Wau ini berukuran 25 kaki tinggi dan 20 kaki lebar, antara yang terbesar pernah kami hasilkan,” katanya,

Tambahnya, cuaca panas dan berangin pada masa ini antara faktor yang membolehkan permainan tradisional itu boleh diterbangkan.

“Kita mengambil peluang keadaan angin petang yang kuat pada musim kemarau ini untuk menaikkan wau ini sempena sukan rakyat yang sedang berlangsung,” katanya.

Pelbagai sukan tradisional diajarkan oleh orang-orang 'lama' kepada generasi baru dalam Sukan Rakyat yang diadakan.



Tag: