• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

YaPEIM Bantu Pelajar B40 UniSZA, UMT Lunas Yuran

KUALA NERUS, 30 Disember – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM636,500 bagi membantu pelajar  B40 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membayar yuran pengajian mereka. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) itu memberi manfaat kepada 593 orang pelajar UniSZA dan 680 pelajar UMT.

"Sejumlah RM296,500 disampaikan kepada UniSZA dan RM340,000 disampaikan kepada UMT khusus bagi membantu menyelesaikan pembayaran yuran mahasiswa dan mahasiswi daripada keluarga kurang berkemampuan di Universiti Awam (UA).

"Jutaan terima kasih kepada YaPEIM kerana menjalankan program ini yang bermula sejak 2016, selaku satu agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Semoga kerjasama bersama IPT dieratkan lagi bagi mengenalpasti dan membantu mereka yang memerlukan dari semasa ke semasa.

“Kami tidak melupakan siswa dan siswi yang sedang menghadapi masalah yuran pembelajaran dan sentiasa mengambil cakna dan prihatin khususnya ketika era pandemic COVID-19," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan sumbangan program dana Inspirasi Malaysiaku (Inspirasiku) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA Gong Badak semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi hasrat itu di masa hadapan, YaPEIM menyasarkan kutipan dana sehingga RM40 juta bagi membantu 40,000 pelajar miskin.

"Iaitu dengan kadar bantuan sehingga RM500 bagi pelajar sekolah dan RM1,000 bagi seorang pelajar IPT,” katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, Dr Zulkifli turut merasmikan pelancaran buku 'Ulul Albab : Menyingkap Keajaiban Islam' di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, buku tersebut mengetengahkan hasil kajian saintifik melalui sembilan artikel berkaitan keajaiban islam yang dilaksanakan oleh 23 orang penyelidik Universiti di seluruh Malaysia.

“Pelbagai penemuan telah dapat membuka minda para pembaca khususnya dalam bidang teknologi pemakanan, kesihatan, genetik dan penternakan binatang,” katanya.