• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Yayasan Bank Rakyat Peruntuk RM2.5 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

KUALA TERENGGANU, 17 Januari – Yayasan Bank Rakyat (YBR) peruntuk sebanyak RM2.5 juta bagi program bantuan persekolahan untuk diagihkan kepada 25,000 penerima di seluruh negara

Pengerusinya, Datuk  Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata inisiatif ini bagi tingkatkan kualiti dan pencapaian pendidikan dikalangan mereka yang kurang bernasib baik.

"Setiap pelajar menerima insentif tunai sebanyak RM100 setiap seorang bagi pembelian set baju, kasut dan stoking atau beg sekolah mengikut keperluan masing-masing.

"Bantuan yang diberikan diharap dapat membantu meningkatkan motivasi murid-murid yang tidak berkemampuan untuk menjalani sesi persekolahan yang baru sama seperti mereka yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan di Sumai Hotel Apartment, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak RM15,000 diagihkan kepada 150 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Terengganu. 

Menurut beliau, bantuan itu merupakan inisiatif YBR bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak.

"Ini merupakan Program Kembali ke Sekolah YBR pertama tahun ini dan ia akan diteruskan ke Pahang pula pada minggu depan dengan sasaran semua penyerahan selesai sebelum sesi persekolahan 2022 bermula Mac nanti,"  katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata pihaknya ada menerima permohonan tambahan untuk bantuan persekolahan.

"Kita ada menerima 4,000 permohonan tambahan dan  akan dibawa ke mesyuarat ahli lembaga untuk diputuskan secepat mungkin ," jelasnya.

 

 

 

 

 


Tag: