• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS sempena program PETRONAS Back To School 2021 semalam.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, penerusan program yang dilancarkan sejak tahun 2003 itu menunjukkan pihaknya terus komited membantu golongan miskin dalam bidang pendidikan di negeri ini.

"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sejumlah sumbangan diagihkan kepada 250 murid terpilih di daerah Kuala Terengganu, 250 di Besut, 220 di Dungun, 220 di Hulu Terengganu, 213 di Kemaman, 185 di Setiu, 132 di Marang dan 130 murid di Kuala Nerus.

“Seiring dengan perkembangan pandemik semasa, kami juga turut menerapkan kepentingan penjagaan kebersihan diri. Kami berharap agar ianya dapat membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan pelajar sekolah," tambah Che Ahmad Tarmizi.

Dalam majlis tersebut, sumbangan simbolik diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Shariff Abdul Latif di pejabat JPNT.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Mengulas lanjut, Che Ahmad Tarmizi memaklumkan, PETRONAS juga sentiasa berusaha memupuk minat pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Sehubungan itu, setiap murid penerima turut dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan," jelasnya.

Bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Kemaman, Amal Dayana Ahmad Sufian, 12, dia berterima kasih tas sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS tersebut.

"Sumbangan yang diterima saya membantu meringankan beban bapanya yang merupakan seorang pesara," ujarnya.

Dayana ialah salah seorang daripada 21,000 penerima bantuan PETRONAS Back To School 2021 yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS di lima belas negeri seluruh negara.

Setiap murid tersebut menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah, sebuah topi, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis dan buku nota.

Setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas.