• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Yayasan Petronas Sumbang Gajet, Data Kepada 735 Anak Terengganu

KEMAMAN, 3 Julai – Seramai 735 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam negeri ini telah menerima sumbangan kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet menerusi program CERDIK anjuran Yayasan PETRONAS.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, bantuan itu turut meliputi  penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun bagi setiap pelajar.

“Kerjasama dan penyaluran gajet tersebut diadakan bersama Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang.

“PETRONAS sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti, terutama sekali semasa menghadapi cabaran pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang sesuai untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital di kalangan pelajar-pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Usaha ini adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui program CERDIK yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, menurut penerima, inisiatif itu sangat membantu dia dan pelajar yang lain untuk belajar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kerana dengan paparan skrin lebih besar dan jelas ini memudahkan saya belajar dan menyelesaikan kerja kursus.

"Guna ‘handphone’ memang susah sikit bila sedang belajar,” luah Nasrin Syasya Mazlan Abdul Khabir, 15, apabila ditanya mengenai pengalaman beliau mengikuti kelas PdPR.