• 21 Sept 2024 | 17 Rabiul Awal 1446

YBEX Latih Belia Kuasai Bidang Usahawan

Wan Sukairi Wan Abdullah.
KEMAMAN, 29 Jun - Program Youth Business Expo 2019 (yBEX 2019) yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Terengganu berjaya membantu belia di negeri itu menguasai bidang keusahawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pelaksanaan program itu memberi ruang dan peluang kepada usahawan muda menonjolkan bakat serta kebolehan dalam bidang tersebut.

Ujarnya, ilmu baharu yang diperolehi juga bakal  menguatkan lagi kemahiran mereka untuk menguruskan perniagaan, secara tidak langsung ia membantu mengurangkan masalah sosial dan pengangguran dalam kalangan belia.

"Program ini sebenarnya telah memberi impak yang sangat besar kepada usahawan-usahawan belia di Terengganu yang berumur 40 tahun ke bawah.

"Saya sangat berharap agar program ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke daerah-daerah lain supaya manfaat ini turut dirasai oleh usahawan muda yang lain," katanya.

Beliawanis yang berjaya dalam 'Youth Deco Challenge'.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup program itu di Dataran Padang Astaka, Chukai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Cawangan Kepimpinan Sahsiah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Zurihanmi Zakariya, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Mohd Soufi Mohd Ibrahim dan Pengerusi Majlis Belia Terengganu, Amirullah Othman.

Wan Sukairi turut berpesan kepada semua usahawan muda yang baharu dan telah menceburi industri itu supaya mengambil peluang dalam program tersebut untuk membina lebih banyak jaringan perniagaan.

Katanya lagi, setiap anak muda perlu bersikap jujur dalam perniagaan jika mahu bergelar usahawan berjaya.

"Ambil juga kesempatan dalam program ini untuk bertukar-tukar idea, pengalaman serta ilmu yang sepatutnya dimiliki oleh semua usahawan belia dan beliawanis.

"Dan sudah tentulah contoh usahawan terbaik yang patut menjadi ikutan ialah Nabi Muhammad S.A.W, baginda telah membuktikan kejayaan baginda menguruskan perniagaan apabila didasari dengan sifat jujur dan amanah," tambah beliau lagi.

Bakat anak muda dalam industri E-sport turut dibangunkan.
Program yang bermula pada 27 hingga 29 Jun itu menyediakan platform jaringan perniagaan efektif dengan menyampaikan maklumat terkini berkaitan peranan kerajaan serta swasta  untuk membangunkan usahawan belia.

Selain gerai jualan, pameran produk, idea dan inovasi terkini dalam bidang tersebut turut diketengahkan dalam program itu bagi meningkatkan kreativiti belia.


Tag: