Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja
KUALA TERENGGANU,29 Mei- Yayasan Pendidikan Maidam mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dapat dikumpul tahun depan menerusi pelancaran dana sumbangan pendidikan Yayasan Pendidikan Maidam (YPM).
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan Maidam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, dana sumbangan pendidikan YPM yang diperkenalkan tahun ini merupakan program tambahan yang menawarkan ruang kepada masyarakat untuk sama-sama menghulur tangan dalam pembangunan pendidikan di Terengganu.
Katanya, dana tersebut akan diagihkan untuk bantuan berterusan bagi menjayakan program Skim Anak Angkat, Prihatin@School, Prihatin@University, Boleh YPM Tolong serta Infra dan Fasiliti Pondok.
“Setakat ini, jumlah terkumpul bagi dana sumbangan pendidikan YPM sebanyak RM1,009,189 dan antara penyumbang utama adalah Bank Islam Malaysia Berhad, Manfaat Wakaf Pendidikan Almarhum Baginda Sultan Omar, Program Kolobrasi Akses Fikrah Islami Permodalan Nasional Berhad-MAIDAM dan GNI Pharma Sdn Bhd..
“Harapan kami agar lebih ramai lagi yang sudi menyumbang sama ada agensi negeri atau swasta agar lebih ramai yang boleh di bantu dan tiada yang tercicir dalam pelajaran.” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Dana Sumbangan YPM yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel, hari ini.
Menurut beliau, fungsi YPM tidak bertindih dengan yayasan-yayasan yang sedia ada di Terengganu kerana fokus YPM untuk melengkapkan dan mengisi ruang-ruang penambahbaikan dalam pendidikan ke arah pendidikan berkualiti.
“Yayasan Pendidikan Maidam merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu yang beroperasi secara aktif bermula 1 Mac 2021 dimana agihan zakat bagi sektor pendidikan telah dimanahkan kapada YPM sebagai strategi fokus untuk memperkasakan pendidikan di Terengganu.
“Bagi tahun ini, sebanyak RM68.1 juta telah diperuntukkan di bawah agihan zakat dalam sektor pendidikan melalui YPM meliputi 13 program.
“Antaranya Bantuan Awal Pengajian, Bantuan IPT, Skim Ulama’, Bantuan Pengajian Islam, dan Bantuan Pengurusan Pondok. Fungsi kedua Yayasan Pendidikan MAIDAM adalah menguruskan Dana Tanggungjawab Sosial bagi tujuan pembangunan pendidikan,” ujarnya.