• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

YPU Laksana Showcase Dan Klinik Usahawan Sebagai Pemudahcara


Oleh : Mustaqim Afandi

BESUT, 17 Julai- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) melaksanakan program Showcase dan Klinik Usahawan sebagai pemudahcara dalam urusan keusahawanan anak tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Makro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata melalui program tersebut pihak kerajaan dapat mengenalpasti masalah yang dihadapi usahawan dan cuba membantu mencari jalan penyelesaian.

Katanya, Terengganu adalah satu-satunya negeri yang mempunyai platform seperti ini dan seharusnya usahawan-usahawan tidak ada  alasan kerana YPU  telah menjadi pemudah cara dengan menghimpun semua agensi yang berkaitan usahawan supaya penyampaian maklumat tepat dan jelas dari agensi masing-masing malah  mampu menarik minat orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan

“Masalah yang dihadapi usahawan kebiasaanya adalah kewangan, sering kali kita mendengar rungutan mereka susah untuk mencari bantuan  dan  tidak mengetahui cara memohon mahupun pinjaman melalui saluran yang sebenar.

“Contohnya sebelum ini bila kita tanya adakah mereka mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)? Mereka mengatakan belum berdaftar…Jika tidak berdaftar macam mana Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) hendak membantu mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase dan Klinik Usahawan Zon Utara (Besut dan Setiu) di Dewan Besar Kota Putera Square baru-baru ini.


Program ini disertai oleh kira-kira 200 usahawan terdiri daripada pelbagai peringkat daripada daerah Besut dan Setiu merupakan yang pertama di jalankan di Zon Utara meliputi daerah Besut dan Setiu. Dijangkakan program tersebut turut akan diadakan di  Zon Selatan bagi Dungun dan Kemaman, manakala Zon tengah bagi Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, dan Kuala Nerus.

Menurut Mohd Norkhuzaini, pihaknya akan panggil semua agensi yang terlibat untuk duduk bersama bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian membantu usahawan di negeri ini dibawah satu bumbung yang dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER).

“InsyaAllah kami dari pihak kerajaan negeri akan sentiasa meningkatkan prasarana kepada usahawan yang tercicir dari masa ke semasa dan meletakkan matlamat dari bidang keusahawanan sebagai satu bidang yang penting untuk memajukan hasil kepada negeri kita,”katanya.

Tag: