• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc  (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.

“Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.

Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih.

“Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat.

“Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.

Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI.

Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.

Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.