• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Bermula Hari Ini


Ahmad Razif menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. Tg Syamim Tg Ismail.

Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir memberi nafas baharu kepada Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa apabila dilancarkan secara rasmi, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelancaran Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi merupakan pembukaan fasa pertama sebelum fasa kedua bermula tidak lama lagi.

Bagi fasa pertama, terdapat lima premis perniagaan antaranya coklat, bagasi, minyak wangi, pinggan mangkuk dan peralatan memasak yang akan beroperasi sepenuhnya di bawah pengurusan Ketengah Holding Sdn.Bhd dan Onine Alliance (M) Sdn Bhd.


"Namun penjualan yang dijalankan ini tidak membabitkan aktiviti jualan barangan berduti tinggi seperti rokok, produk petroleum, kenderaan dan produk minuman beralkohol.

"Mengikut perancangan yang dibuat, fasa seterusnya membabit pembukaan zon bebas cukai di Pulau Bayas yang dijangka dibuka pada pertengahan tahun depan.

"Kita berharap dengan beroperasinya zon bebas cukai ini,ianya kan setanding dengan zon bebas cukai yang terdapat di Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa akan datang,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Jualan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi ,Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'  Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga Dan Teknologi Hijau Negeri, Ir.Rosli Othman

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih,Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Pengurus Besar Ketengah,Omar Ismail dan juga Timbalan Pengerusi Ketengah, Dato' Din Adam.

Menurut Ahmad Razif, Tasik Kenyir bukan sahaja menjadi hab pelancongan dan pertanian tetapi berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi Pantai Timur serta destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.


Jelas beliau lagi,pihaknya berharap dengan beroperasinya Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir itu, kedudukan  dan potensi tasik buatan manusia itu dapat dipertingkatkan dari segi infrastruktur pelancongan.

Sementara itu, Ahmad Razif turut menyentuh mengenai tambang rumah bot dan bot laju kepada pelancong supaya ianya dapat diseragamkan serta mengenakan kadar berpatutan agar pelancong tidak terbeban.

Tag: