• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan Mulai Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula hari ini hingga 25 Mac ini.

Salim Ab Ghani.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,427 petugas peperiksaan dilantik.

"Berlaku penambahan petugas peperiksaan berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bilik-bilik peperiksaan ditambah, begitu juga dengan petugas.

"Juga tinjauan kita di beberapa buah sekolah sebelum ini mendapati terdapat bilik-bilik yang dikhaskan dan mereka sangat akur dengan SOP yang ada. Kesemua calon serta petugas memakai pelitup muka sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media ketika lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi garis panduan serta SOP yang sangat jelas.

"Saya ucap terima kasih kepada kementerian yang memberi SOP yang sangat jelas serta pengetua-pengetua sekolah yang mematuhi arahan sepatutnya.

"Diingatkan agar ibu bapa calon khususnya memberi kerjasama sepenuhnya menjaga anak-anak mereka di rumah dengan mematuhi setiap arahan," jelasnya.

Semua calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusandan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19.