• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Aktiviti Pendakian, Sukan Lasak Di Terengganu Dibenar Bermula Jumaat Ini

KUALA TERENGGANU, 22 September - Aktiviti mendaki bukit atau gunung serta sukan rekreasi lasak seperti 'motocross', ATV dan 'mountain bike' dalam hutan simpanan kekal di Terengganu hanya dibenarkan secara harian mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bermula 24 September ini.

Jabatan Perhutanan Terengganu menerusi kenyataan rasminya berkata, jumlah peserta yang dibenarkan dalam aktiviti pendakian tidak melebihi tujuh orang dalam satu kumpulan pendaki serta disyaratkan mengguna perkhidmatan malim gunung berkelayakan atau berdaftar dengan pihak jabatan.

"Jumlah pendaki dihadkan kepada 50 orang sehari tidak termasuk malim gunung bagi setiap laluan pendakian.

"Permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal bagi tujuan pendakian gunung di negeri Terengganu disyaratkan dua minggu sebelum tarikh pendakian," jelas kenyataan tersebut pada Selasa.

Bagi kegiatan aktiviti sukan lasak pula, katanya, penggiat yang melaksanakan aktiviti rekreasi lasak dalam hutan simpanan kekal juga perlu memohon permit memasuki hutan simpanan kekal daripada Pejabat Hutan Daerah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh aktiviti.

"Had daya tampung bagi aktiviti lasak ini akan ditentukan berdasarkan kepada permohonan dengan mengambil kira kawasan hutan simpanan kekal yang akan dilaksanakan aktiviti tersebut," katanya.

Jelas kenyataan itu, kelonggaran dalam aktiviti sosial, kecergasan dan rekreasi selaras dengan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 17 September lalu.

Namun, katanya, orang awam yang ingin menjalankan aktiviti dalam Hutan Simpanan Kekal perlu lengkap menerima dua dos vaksinasi Covid-19 dan tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa.


Tag: