• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

TEMERLOH, 29 Disember - Banjir besar yang melanda Taman Mentakab Indah di sini mendatangkan keinsafan kepada penduduk setempat.

Menurut Sufian Sulaiman, 43, berkata musibah kali kedua  berlaku dalam tahun yang sama itu amat sukar untuk dilupakan.

"Baru sahaja berlaku awal tahun, terpaksa pula hadapinya sekali lagi, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini, cuma dugaan pada kali ini sangat dahsyat, jika awal tahun boleh lagi mengharungi air, namun pada kali ini air naik mendadak iaitu satu jam sekaki paras air naik sehingga menenggelamkan taman ini.

"Pada waktu itu tidak fikir apa dah, paling utama selamatkan keluarga dan pindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala saya pula lari ke tempat yang lebih tinggi di ladang sawit.

"Tujuannya adalah untuk menjaga segala harta dan aset yang ada dalam rumah untuk melakukan pemantauan serta berjaga-jaga bagi memastikan tidak akan ada pihak yang ambil kesempatan untuk larikan barang-barang berharga," ujarnya.

Bekas tentera itu berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di rumahnya dalam program misi pasca banjir di sini semalam.

Tambah Sufian, tindakan kerajaan Terengganu menghantar sukarelawan sangat tepat pada masanya kerana dapat  membantu meringankan beban 400 keluarga di taman berkenaan.

"Penduduk sini termasuk saya gembira apabila dimaklumkan kedatangan sukarelawan ini.

"Penat awal tahun dulu belum hilang lagi, hati yang sedih pun belum terubat lagi, namun apa jua yang Allah kehendaki berlaku akan tetap berlaku.

"Walaupun selama ini saya memilih untuk menetap di sini kerana selama ini difikirkan selamat tidak pernah terfikir kawasan ini akan mengalami nasib sebegini teruk sekali," katanya.

Sementara itu, seorang anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan Terengganu, Wan Hisyam Wan Yusof berkata, pihaknya sangat berbesar hati diberi peluang untuk turut serta dalam misi yang dianjurkan kerajaan negeri.

"Sedikit sebanyak kami dapat menyumbangkan tenaga dan berganding bahu dengan sukarelawan yang lain dalam menjayakan misi pada kali ini," katanya.


Tag: