lightning-solid
Berita :
Bantuan Guaman Asnaf Ar-Riqb Bantu Ibu Tunggal Tuntut Hak Daripada Bekas Suami
Bantuan Guaman Asnaf Ar-Riqb Bantu Ibu Tunggal Tuntut Hak Daripada Bekas Suami
Adli Mohamad
11 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) telah menubuhkan Program Bantuan Guaman Asnaf Ar-Riqb bagi membantu ibu tunggal menuntut hak nafkah daripada bekas suami.

Penasihat PPST, Salwa Mansor, berkata program tersebut bukan sahaja melibatkan tuntutan nafkah isteri, malah turut merangkumi tuntutan nafkah anak, selain kes berkaitan penceraian taklik dan fasakh.

Menurutnya, antara syarat kelayakan untuk mendapatkan khidmat guaman tersebut ialah ibu tunggal berkenaan tidak melebihi pendapatan RM1,000 sebulan, dikenakan bayaran minimum RM50, serta kes berkenaan belum pernah difailkan di mahkamah.

“Bayaran kecil ini merupakan wang komitmen, dan pemohon juga perlu mengemukakan seorang penjamin. Sekiranya pemohon menarik balik kes pada mana-mana peringkat prosiding, pemohon atau penjamin akan dikenakan denda,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah tersebut bertujuan mengelakkan sikap sambil lewa dalam kalangan pemohon.

“Kita tidak mahu wujud sikap acuh tak acuh. Oleh itu, sebelum fail dibuka, pemohon perlu benar-benar bersungguh-sungguh untuk menuntut hak masing-masing kerana perbelanjaan kes ini menggunakan dana MAIDAM daripada kutipan zakat orang ramai, justeru amanah ini perlu dijaga dengan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman di Mahkamah Syariah di sini, baru-baru ini.

AMRZ0114.jpg 1.18 MB

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kesemua bayaran sepanjang proses prosiding serta lantikan peguam ditanggung sepenuhnya oleh MAIDAM.

Menurutnya, peguam yang dilantik adalah bertauliah, berpengalaman serta memiliki lesen sah di Terengganu, selain hanya mengamalkan undang-undang di negeri ini dan beralamat di Terengganu.

“Sehingga kini, sebanyak 477 kes telah dikendalikan sejak program ini mula dilaksanakan pada tahun 2018 hingga tahun lalu. Daerah Setiu paling bersungguh menggunakan khidmat ini, berkemungkinan disebabkan tahap kesedaran yang lebih baik dalam kalangan masyarakat serta faktor pendapatan rendah yang melayakkan mereka menerima khidmat bantuan guaman Asnaf Ar-Riqab,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jalinan kerjasama antara PPST dan MAIDAM merupakan satu inisiatif yang sangat baik bagi memastikan ibu tunggal dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin bersama anak-anak selepas ditinggalkan bekas suami.

“Justeru, mana-mana individu yang kurang bernasib baik dan diabaikan oleh bekas suami tidak perlu berdiam diri menanggung penderitaan, sebaliknya digalakkan untuk menghubungi pihak kami. Insya-Allah, bayaran hanya dikenakan selepas persetujuan membuka fail, dan dengan bayaran tersebut, kes akan dikendalikan sehingga selesai serta keputusan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan