• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Empat Agenda Dalam Sidang DUN

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Empat agenda penting akan dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 Ogos ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, terdapat dua usul dan dua Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan pada persidangan tersebut.

"Dua usul iaitu menjunjung kasih atas titah ucapan Diraja dan berkait dengan penubuhan Kumpulan Wang Amanah. 

"Ini sebenarnya lebih kepada soal menjadikan akaun kerajaan negeri lebih cekap supaya dari segi pengurusannya lebih realistik'" ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pengacara konti Manis FM, semalam. 

Menurutnya, kerajaan negeri bukan sahaja menekankan soal (cash flow) aliran tunai tetapi mengambil kira dari segi aset dan juga  isu-isu yang lain termasuk bidang perakaunan untuk menjadikan akaun kerajaan negeri menjadi lebih cekap.

Selain itu, Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air yang merupakan satu enakmen baru menggantikan enakmen bekalan air sebelum ini juga akan dibentangkan.

"Enakmen ini menjurus kepada bidang kuasa kerajaan negeri yang lebih luas berhubung dengan pengurusan air.  

"Sebab itu kerajaan negeri berhasrat daripada enakmen yang bakal diluluskan ini dari segi pengurusan air, penjagaan alam sekitar dan perkara-perkara berkait dengan bagaimana nak menjadikan sumber air di negeri Terengganu ini dapat diuruskan dengan lebih sempurna," ujarnya 

Tambah beliau, dari segi jangka panjangnya, kerajaan negeri boleh membangunkan sumber air ini dan memberikan keuntungan.

Sementara itu, isu yang berkait dengan Rang Undang-Undang ialah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi kerajaan negeri Terengganu iaitu  berhubung dengan had umur calon. 

"Kita nak seragamkan apa yang telah diluluskan di peringkat parlimen maka dengan sendirinya kerajaan negeri perlu meluluskan perkara ini sama dengan kerajaan persekutuan had umur calon  daripada 21 kepada 18 tahun. 

"Kerajaan negeri sangat  meraikan hasrat golongan muda bukan sahaja dari segi umur mengundi.

"Kita harap 18 tahun ke atas adalah umur rakyat negeri kita ini menjadi lebih matang," tambah beliau lagi.