lightning-solid
Berita :
Enam Pemancing Dicekup Tidak Solat Jumaat
Enam Pemancing Dicekup Tidak Solat Jumaat
Ahmad Zaeem Zainudin
6 jam yang lepas
569

KEMAMAN, 14 Februari - Tindakan enam lelaki yang leka memancing di Jeti Sungai Yak Yah ketika umat Islam lain menunaikan Solat Jumaat membawa padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan, semalam.

Tangkapan dibuat sekitar jam 2.05 petang di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana tidak menunaikan sembahyang Jumaat.

IMG_20260215_095558.jpg 1.11 MB
Operasi tersebut dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Daerah Kemaman dengan kerjasama PPS Ibu Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Operasi tersebut telah membawa kepada tangkapan enam (6) orang lelaki mukallaf berumur lingkungan 23 hingga 35 tahun yang didapati sedang leka memancing di Jeti Sungai Yak Yah, Kemaman ketika waktu Solat Jumaat berlangsung.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu tersebut merupakan warga tempatan dan bermustautin di daerah Kemaman," kata pihak penguatkuasa dalam satu kenyataan.

IMG-20260214-WA0010.jpg 43.28 KB
Menurut kenyataan tersebut, pemantauan awal telah dijalankan oleh anggota PPS wanita bermula kira-kira jam 12.45 tengah hari sehingga selesai Solat Jumaat di masjid berhampiran.

"Kesemua Orang Yang Disyaki (OYDS) telah dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kemaman untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," menurut kenyataan itu lagi.

Enam individu tersebut kemudiannya dilepaskan dengan bon jaminan untuk hadir ke Mahkamah Syariah dengan seorang penjamin.

Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 memperuntukkan bahawa mana-mana lelaki mukallaf yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid tanpa keadaan yang dibenarkan oleh Hukum Syara adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabitkan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz, menasihatkan semua lelaki mukallaf agar tidak memandang ringan kewajipan Solat Jumaat.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengabaikan kewajipan tersebut tanpa alasan yang dibenarkan syarak.


Artikel Berkaitan