lightning-solid
Berita :
Gelombang Kesedaran Berhijab Kini Fokus Perkasa Lelaki ‘Qawwam’
Gelombang Kesedaran Berhijab Kini Fokus Perkasa Lelaki ‘Qawwam’
Rohayati Ripin
13 Feb 26
22

KUALA NERUS, 13 Februari – Program kesedaran berhijab yang digerakkan di Terengganu kini memasuki fasa baharu dengan memberi penekanan kepada peranan lelaki sebagai ‘qawwam’ atau pelindung wanita dalam institusi keluarga.

Katanya, program tahunan ini menjadi acara kemuncak dan penganjurannya kini memasuki edisi keenam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita negeri, Maliaman Kassim berkata, program berkenaan bukan sekadar menggalakkan pemakaian tudung, sebaliknya bertujuan mewujudkan gelombang kefahaman bahawa berhijab adalah satu kewajipan menurut syarak dan bukan sekadar fesyen.

“Memang kita galakkan orang berhijab. Tetapi kita mahu wujudkan kesedaran bahawa bertudung ini adalah satu kewajipan dan memberi impak di akhirat,” jelasnya dalam sidang media selepas program Terengganu Hijab Day 2026 di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

IMG_20260213_170340.jpg 1.87 MB
Menurut beliau, program yang telah dilaksanakan di lapan daerah itu menunjukkan perkembangan positif apabila majoriti wanita di Terengganu kini tampil berhijab, termasuk di lokasi tumpuan awam seperti pasar minggu dan pasar raya.

Malah, katanya, dalam satu program di Pasar Payang, pihak urus setia dicabar untuk mencari wanita yang tidak bertudung bagi tujuan dakwah dengan ganjaran hadiah, namun tiada individu ditemui.

“Maknanya semua bertudung. Alhamdulillah, itu fenomena di Terengganu. Walaupun ada yang freehair, bilangannya sangat terpencil,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendekatan tahun ini berbeza apabila tema “Lelaki Qawwam, Pelindung Wanita” diperkenalkan bagi memberi fokus kepada peranan lelaki dalam memastikan kesejahteraan keluarga.

Katanya, banyak masalah sosial berpunca daripada kegagalan lelaki memainkan tanggungjawab, termasuk isu penagihan dadah dan pemenjaraan yang menyebabkan isteri terpaksa memikul beban sebagai pencari nafkah dan pendidik anak.

“Bila lelaki di penjara atau pusat pemulihan, isteri terpaksa bekerja dan dalam masa sama mendidik anak. Anak-anak terbiar, tercicir pendidikan dan terdedah kepada dadah. Ini menjadi rantaian masalah sosial dan beban kepada kerajaan,” katanya.

IMG_20260213_170320.jpg 1.46 MB
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar diwujudkan platform dan program khusus bagi memperkasakan lelaki supaya benar-benar menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab.

“Kita bukan sahaja mahu wanita patuh syarak, tetapi lelaki juga mesti diperkasakan. Bila lelaki bertanggungjawab, keluarga selamat dan anak-anak terbela,” katanya.




Tag :

Artikel Berkaitan