• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ibu Waja Dan Anak-Anak Diraikan

KEMAMAN, 2 Mei - Seramai 250 orang yang terdiri daripada ibu waja atau ibu tunggal bersama anak-anak diraikan dalam satu majlis berbuka puasa, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan mengadakan program itu.

"Alhamdulillah, mungkin program seperti ini pertama kali diadakan di mana kami mengumpulkan ibu waja bersama anak masing-masing.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang hadir dan membantu menjayakan program pada hari ini," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.

Dalam program itu, Hanafiah turut menyampaikan sumbangan wang tunai sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi kepada semua ibu waja yang hadir bersama anak-anaknya.

"Senyuman mereka juga adalah kegembiraan buat kami," katanya lagi ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis tersebut.

Program yang diadakan di Restoran Cahaya Mesra Seafood, Kampung Geliga itu turut mendapat kerjasama daripada Kelab Ibu Tunggal DUN Cukai dan Persatuan Kebajikan Warga Cakna Sejagat atau lebih dikenali sebagai Cakna Care.

Ibu waja adalah ganti nama kepada panggilan ibu tunggal. Panggilan baru itu diberikan bagi mencerminkan kecekalan dan ketabahan yang diharungi golongan tersebut.

Ini terutama melibatkan tanggungjawab mereka memimpin keluarga dan membesarkan anak-anak biarpun tanpa kehadiran suami.


Tag: