lightning-solid
Berita :
50 Peserta Wanita Muda Berentap di Kejohanan Bowling Rebut Piala ADUN Jabi
50 Peserta Wanita Muda Berentap di Kejohanan Bowling Rebut Piala ADUN Jabi
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
39


KUALA TERENGGANU, 26 Ogos – Kejohanan Bowling Piala Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Jabi anjuran Beliawanis berlangsung meriah apabila berjaya menghimpunkan seramai 50 orang peserta wanita muda berusia 40 tahun ke bawah dari seluruh DUN berkenaan.

 ADUN Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim bersama isteri, To’ Puan Yushanida meluangkan masa memeriahkan kejohanan tersebut sekali gus memastikan tiada peserta yang pulang dengan tangan kosong.

Dr Azman menjelaskan keutamaan program berkenaan adalah untuk mengeratkan hubungan kemasyarakatan dan menyemarakkan semangat kesukanan tanpa sebarang tekanan.

"Tak kira samada ‘strike’ atau masuk longkang, semua Pok Cik Man bagi hadiah belaka," selorohnya selepas ditemui pemberita sejurus selesai Kejohanan Bowling Piala ADUN Jabi di Coral Crown Bowling, Paya Bunga Square, di sini.

Dalam saingan tersebut, Kumpulan 9 muncul juara sekali gus membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM350, hamper dan cek mock. Naib johan disandang oleh Kumpulan 4 yang meraih wang tunai RM250, hamper dan cek mock, manakala tempat ketiga milik Kumpulan 7 dengan membawa pulang RM150, hamper serta cek mock. Peserta di kedudukan keempat hingga kesepuluh pula masing-masing membawa pulang hadiah hamper.

Sementara itu, Pengarah Program, Rayyani Inayati Rusli merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta yang memberikan komitmen serta semangat terbaik sepanjang pertandingan.

"Pihak urusetia juga memohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan sepanjang program dilaksanakan. Segala teguran amat dihargai untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

"Jutaan terima kasih turut ditujukan kepada barisan AJK yang bertungkus-lumus, serta penghargaan tidak terhingga kepada YB Dato’ Dr. Azman dan To’ Puan Yushanida atas kesudian hadir memeriahkan acara," katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat terus menjadi platform utama dalam memperkukuhkan ukhuwah dan semangat berpasukan dalam kalangan golongan wanita muda di DUN Jabi.


Tag :

Artikel Berkaitan