lightning-solid
Berita :
Kejohanan Piala ADUN Jabi Kekal Simbol Perpaduan Penduduk
Kejohanan Piala ADUN Jabi Kekal Simbol Perpaduan Penduduk
Hidayah Azlin
15 jam yang lepas
74

SETIU, 26 Ogos  – Penganjuran Kejohanan Bolasepak Piala ADUN Jabi yang mencatatkan sejarah sebagai antara liga kampung tertua dan paling meriah di daerah Besut kekal menjadi simbol perpaduan komuniti tempatan, biarpun berdepan ujian kekecohan kecil pada aksi final baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung di Padang Bola Tasik Mengkuang Kerandang itu menyaksikan kehadiran luar biasa dianggarkan melebihi 5,000 penonton ketika perlawanan akhir membabitkan pertembungan 'musuh tradisi' antara Felda Selasih FC dan Apal Group FC pada 22 Ogos lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pihak jawatankuasa penganjur sememangnya telah menjangka perlawanan penuh tumpuan itu akan berlangsung dalam suasana sengit dan tegang, sekali gus memobilisasi kawalan keselamatan optimum.

"Kejohanan ini merupakan acara wajib tahunan sejak 2018. Bagi memastikan kelancaran, kita sentiasa mendapatkan khidmat pengadil bertauliah termasuk pengadil bertaraf FIFA, FAM, PBSNT serta Persatuan Bola Sepak Daerah Besut (BEFA), selain kawalan keselamatan PDRM dan Anggota Keselamatan DUN Jabi.

"Pada aksi final tersebut, kawalan ketat telah dilaksanakan termasuk kehadiran Ketua Balai Polis Kampung Raja bersama anggota, serta khidmat enam pengadil bertauliah dengan pengadil utama merupakan anggota tentera berlesen PBSNT," katanya.

Mengulas insiden perlawanan akhir berkenaan, Dr Azman menjelaskan bahawa faktor ketiadaan pagar keselamatan di padang kampung menyebabkan keadaan sedikit bercelaru apabila penonton mula menyerbu masuk ke kawasan permainan sejurus berlaku ketegangan.

Walau bagaimanapun, beliau menepis tanggapan negatif sesetengah pihak dan mengesahkan insiden berkenaan berjaya ditenangkan dengan pantas sehingga perlawanan dapat disambung semula hingga wisel penamat.

"Insiden berpunca daripada kehangatan aksi 'derby match'. Walaupun ketegasan pengadil mampu mengawal pergeseran pemain, pencerobohan penonton ke dalam padang menjadikan situasi agak kucar-kacir seketika.

"Namun alhamdulillah, keadaan kembali tenang. Selepas acara penyampaian hadiah, saya sendiri bertemu pihak pengurusan serta pemain kedua-dua pasukan. Mereka menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf. Isu ini telah selesai di padang kerana kita semua adalah anak tempatan Jabi," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Azman menolak dakwaan bahawa budaya bola sepak di Besut gemar mencetuskan pergaduhan, sambil menegaskan kejohanan itu sentiasa berlangsung secara harmoni sejak sekian lama.

Beliau turut menasihati pemain muda agar menyerap disiplin dan kawalan emosi yang tinggi demi mengilap bakat sukan mereka ke peringkat lebih jauh.

"Jabi adalah wadah untuk kita mengetengahkan bakat dengan semangat kesukanan tinggi. Segala anasir negatif perlu dibuang dan ikhtiar menjaga nama baik DUN Jabi adalah tanggungjawab bersama," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan